Pensel Pen

Laman resepi kegemaran anda

Kesihatan, Tips

5 Cara Untuk Merealisasikan Resolusi Tahun Baru Anda Untuk Mengamalkan Pemakanan Sihat

Untuk kebanyakan orang, mengamalkan pemakanan sihat adalah mudah jika dilakukan sekali sekala. Mungkin sebulan sekali. Itu mudah. Namun untuk mengamalkannya sepanjang masa, terumatamanya di Malaysia ini, ia merupakan satu cabaran besar!

Jika anda merasakan perkara sedemikian, mungkin anda patut mencuba cara-cara mudah di bawah ini untuk mula mengamalkan gaya pemakanan yang sihat. Amalan sedikit demi sedikit ini akan memudahkan anda mengubah corak pemakanan anda dari tidak sihat kepada yang lebih baik. Ini lebih baik daripada amalam yang tidak konsisten dalam pemakanan anda.

Di bawah ini adalah 5 tips oleh pakar diet untuk gaya hidup sihat.

1- Tambah hirisan lemon ke dalam air minuman anda.

Memang seronok kalau minum minuman bergula seperti teh ais atau air soda. Tambah lagi di hari panas seperti di Malaysia ini. Namun kandungan gula yang terdapat di dalam minuman tersebut adalah tinggi maka kita sepatutnya mengurangkan pengambilan minuman tersebut. Banyakkan minum air kosong. Untuk menambahkan sedikit perasa ke atas air minuman kita, bolehlah ditambah hirisan lemon ke dalam air tersebut. Air lemon akan membantu dalam proses pencernaan dan detoks dalam badan anda. Ia juga merupakan sumber Vitamin C.

Mungkin ada yang merasa sukar untuk membawa hirisan lemon sepanjang masa, jadi uncang teh juga boleh menjadi salah satu pilihan untuk menambah perasa kepada minuman kita. Teh seperti teh hijau akan meningkatkan metabolisma badan dan membantu melawan penyakit. Ia juga mempunyi tahap antioksida yang tinggi.

2- Pesan makanan tidak lebih dari apa yang anda boleh makan.

Malaysia memang sebuah negara yang mewah dengan makanan. Tahukah anda setiap hari 3000 tan metrik sisa makanan dibuang di Malaysia. Oleh itu cuba amalkan untuk memesan makanan tidak lebih daripada apa yang anda mampu makan. Ia boleh jadi meminta agar dikurangkan nasi dalam hidangan, atau memesan selepas makanan yang terhidang di atas meja telah dihabiskan.

Cara ini akan membantu anda mengawal pengambilan makanan secara berlebihan. Ada juga yang dipaksa menghabiskan makanan disebabkan tidak mahu membazir, menyebabkan terlebih makan dan akhirnya membawa kepada kegemukan.  Oleh itu, cara ini juga akan membantu mengurangkan pembuangan sisa makanan secara berlebihan.

3- Pilih makanan yang mempunyai label nutrisi yang lebih sihat.

Semasa membeli belah barangan makanan rumah anda, cuba pilih barangan yang mempunyai label nutrisi yang lebih sihat. Pastikan barang itu lebih kurang kandungan lemaknya, garam atau gula. Pilih juga barangan yang mempunyai lebih nutrisi baik seperti kalsium, serat atau lain-lain jika dibandingkan dengan pilihan yang ada dalam kategori makanan yang sama.

Sentiasa cari minuman yang mempunyai gula yang rendah. Gula merupakan ancaman jika diambil berlebihan dan ini adalah cara yang baik untuk anda mengurangkan pengambilan gula seterusnya mengamalkan pemakanan sihat.

4- Ambil kacang dan bijirin sebagai snek.

Jika anda seorang yang suka mengambil snek, pastikan anda sentiasa memilih makanan yang lebih sihat. Hentikan memakan kentang goreng, biskut atau coklat dan perbanyakkan pemakanan sihat seperti kacang dan bijirin. Kacang dan bijirin mempunyai kandungan serat dan minyak dan lemak sihat yang akan membawak kebaikan kepada tubuh badan anda.

Sebagai contoh, kacang almond mempunyai kandungan lemak sihat, vitamin E, serat dan protein yang boleh membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah, kolestrol dan tekanan darah. Selain itu, sebagai contoh, biji bunga matahari juga kaya dengan serat dan dipenuhi lemak sihat, vitamin E dan mineral lain.

Tambahan lagi, snek seperti ini adalah senang disimpan dan dibawa bersama bila anda memerlukannya! Latih diri anda untuk membiasakan mengamalkan pemakanan sihat ini.

5- Makan salad sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Cuba untuk mengubah diet anda sekurang-kurangnya sekali seminggu. Amalkan pemakanan salad yang kaya dengan sayuran hijau yang penuh dengan serat dan vitamin. Untuk menambah rasa dan pilihan, ia boleh dicampur dengan tomato ceri atau karot untuk lebih vitamin C.

Untuk mencukupkan protein, elakkan makanan berminyak dan ambil makanan gril seperti ikan salmon, atau dada ayam. Seimbangkan nutrisi dengan menambah makanan berkarbohidrat sepert jagung, kacang, atau kentang.

Elakkan daripada menambah perasa seperti sos cili, ‘thousand-island’ dan sebagainya. Sebaliknya gunakan cuka, atau minyak zaitun sebagai penambah rasa untuk merealisasikan pemakanan sihat anda.

Nah, resolusi tahun baru anda seolah-olah tidak mustahil lagi bukan? Amalkan secara perlahan-lahan. Biasakan diri. Bila 5 perkara ini sudah anda amalkan, anda boleh teruskan ke 5 amalan yang seterusnya pula! Lama-kelamaan, pemakanan anda akan menjadi sihat sepenuhnya. Selamat beramal!

 

Leave a Reply

Theme by Anders Norén

Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial