Pensel Pen

Laman resepi kegemaran anda

Kesihatan

Kelebihan Makanan Pedas Yang Tak Ramai Orang Tahu

Ramai yang gemarkan makan makanan pedas. Sememangnya makan makanan pedas amat mencabar namun ia juga tak dinafikan membawa keseronokan. Walaupun rasa lidah seolah-olah terbakar, serta berpeluh-peluh untuk memakannya, sebahagian besar masyarakat di Malaysia tetap masih suka memilih ia sebagai hidangan. Ia seolah-olah satu cabaran yang mesti diselesaikan; lebih pedas sesuatu hidangan itu, lebih ramai peminat makanan pedas akan cuba untuk memakannya.

Tak dinafikan juga ada sebahagian daripada kita yang tidak mampu menghadapi kepedasan akibat daripada perut yang sensitif.

Namun tahukah anda bahawa terdapat pelbagai kebaikan yang terkandung di dalam makanan pedas. Malah, menurut kajian masalah gastrik yang mungkin terjadi akibat dari ubat penahan sakit anti radang boleh dihalang dengan penggunaan cili yang pedas.

Ada pelbagai jenis cili yang boleh anda dapatkan di pasaran seperti cili merah, lada benggala, dan lada jalapeno. Kajian menunjukkan mereka mempunyai kesan positif untuk kesihatan selain daripada menambah perasa untuk hidangan harian anda.

Berikut adalah kebaikan yang boleh didapati melalui pengambilan makanan pedas:

Menyihatkan jantung

Antara kandungan utama di dalam makanan yang pedas adalah capsaicin. Capsaicin adalah baik untuk mengurangkan tekanan darah dan menyihatkan jantung anda. Bahan ini menghalang pembinaan plak yang boleh mengecilkan pembuluh darah. Ini membawa kepada kelancaran aliran darah di dalam tubuh badan manusia.

Selain itu, kunyit juga mengandungi bahan anti radang yang boleh melindungi jantung. Ia boleh menurunkan tahap kolestrol dan mencegah kolestrol jahat (LDL) daripada terkumpul.

Mengurangan berat badan

Apabila anda makan makanan yang pedas, kalori yang dibakar oleh tubuh anda juga meningkat. Ini kerana apabila anda makan makanan pedas, berlaku sedikit peningkatan dalam suhu tubuh badan anda. Ia juga membantu membakar lebih kalori apabila anda berpeluh ketika makan makanan pedas. Ia meningkatkan metabolisma badan anda dan pada masa yang sama mengurangkan keinginan anda untuk makan.

Kajian ada menunjukkan bahawa individu yang memakan makanan appetizer yang pedas pada akhirnya akan kurang memakan makanan hidangan utama. Oleh yang demikian, pilih makanan yang pedas sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu untuk membantu mempercepatkan proses pengurangan berat badan anda.

Mencegah kanser

Curcumin di dalam makanan pedas membantu mencegah kanser dan ini dibuktikan oleh para penyelidik yang menemui bahawa bahan ini mempunyai kesan yang besar terhadap sel kanser. Kajian menunjukkan curcumin mengurangkan risiko kanser payudara, kanser usus dan juga kanser serviks. Kajian juga menemui bahawa capsaicin, boleh mengurangkan jumlah sel kanser prostat di dalam tikus makmal tanpa menjejaskan sel yang sihat.

Memperbaiki ‘mood’

Antara kelebihan yang datang dengan makanan yang pedas adalah ia boleh memperbaiki ‘mood’ anda. Capsaicin dan curcumin yang terkandung dalam cili akan membuatkan otak mengeluarkan hormon gembira yang dikenali sebagai serotonin. Makanan pedas dapat meningkatkan tahap endorphin dan bersama-sama dengan serotonin berupaya mengurangkan kesakitan.

Ini akan memberikan anda perasaan yang baik, serta mampu menangani tekanan dan kemurungan.

Kelebihan lain

Dengan memakan makanan pedas juga, pencernaan anda juga akan menjadi lebih baik. Sakit dan ulcer perut juga boleh diatasi dengan makanan pedas dan ia juga membunuh bakteria.

Penyelidik juga telah membuktikan bahawa pola tidur juga akan bertambah baik dengan pengambilan cili atau makanan pedas lain.

Penyelidik di Australia juga mendapati individu yang mengambil makanan yang pedas juga akan tidur dengan lebih mudah. Mereka tiada masalah untuk bangun pagi seterusnya mempunyai lebih tenaga sepanjang hari.

Ia juga memperbaiki pernafasan. Ia membantu membuka saluran pernafasan yang tersumbat dan membuatkan anda bernafas lebih baik.

Oleh yang demikian, adalah amat baik sekiranya anda mengamalkan pemakanan makanan pedas jika anda berhasrat untuk mengurangkan berat badan, mencegah kanser atau memperoleh segala kebaikan yang datang bersama dengan makanan pedas. Namun pastikan ianya tidak berlebihan kerana apa jua makanan jika diambil secara berlebihan akan mendatangkan kesan yang tidak baik.

Makanlah pada kuantiti yang betul dan nikmati kelebihan makanan pedas yang tubuh badan anda perlukan.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén

Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial