Resepi kuih goyang / kuih loyang / kuih bunga ros

Ada yang gelar kuih loyang, kuih goyang dan juga kuih bunga ros. Tak dinafikan memang ramai yang suka dengan kuih ini. Namanya pun ada banyak.

Kuih yang diperbuat dari tepung beras atau pulut (bergantung kepada resepi, untuk kali ini resepi kuih goyang ini menggunakan tepung pulut yang membuatkan ianya lain dari lain, malah feedback yang diperoleh dari mereka yang menggunakan resepi ini juga amat menggalakkan) ini digoreng didalam minyak masak dan mempunyai rasa manis.

 

Cukuplah dengan sedikit penerangan berkenaan kuih ini. Jom kita baca resepi kuih goyang atau  cara nak membuatnya melalui perkongisan pemilik Fb bernama FatihahHalim seperti di bawah:

syok bergoyang.. gas abis pulak.. spoil mood.. 🙁

ni kali ke3 sy bg resepi… yg mana nk pertikai isu tepung lg harap jgnla jd BODOH SOMBONG.. cuba dl bru tau.. resepi ni hasil perkongsian Naomi Chen. dan resepi ini dri bangsa cina.. lain bangsa lain caranya..

sy tahu akak2 dah berkecimpung buat kuih ni 10tahun.. tp bukan alasan nk kondem resepi org..ini sy shared yg nak pertikai tu sila la main jauh2 ..

Bahan-bahan

500g TEPUNG PULUT ( khas untuk resepi ini)
500g tepung jagung
300ml air putih
200ml santan
10biji telur gred A
350g gula jika nak manis 400g

Cara Menyediakan

Telur dan gula perlu digaul hingga sebati atau untuk memudahkan kerja boleh menggunakan blender. Kemudian, satukan tepung pulut dan tepung jagung tadi dan masukkan sekali santan dan air.

Gaul dengan rata, atau boleh menggunakan blender. Kemudian, adunan boleh digoreng di dalam kuali yang mengandungi minyak sederhana panas. Pastikan juga  acuan dipanaskan bersama minyak.

Sumber: fb MAHN

Boleh juga tengok video di bawah ini untuk melihat lebih jelas proses penyediaannya.

Tips Menyediakan Resepi Kuih Goyang

Menarik bukan resepi yang dikongsi di atas? Namun begitu perlu juga anda tahu untuk menyediakan kuih goyang ini, ada beberapa tips yang perlu diamalkan untuk memastikan kuih goyang anda betul-betul menjadi.

Ini kerana ada macam-macam perkara boleh terjadi jika anda terlepas pandang perkara ini. Ada pelbagai kisah menarik dari netizen yang kita boleh dengar dan belajar.

Ada yang goyang tak tercabut, kuih jadi tak cantik, malah ada juga yang jadi tidak garing seperti mana yang diharapkan. Tips-tips di bawah ini boleh menyelamatkan anda daripada mengalami situasi yang tidak diingini di atas. Boleh kurangkan kerugian, jimatkan masa dan macam-macam lagi.

Tips 1

Ramai orang semasa menyediakan kuih goyang ini, mengalami situasi di mana lepas celup dalam acuan dan dimasukkan ke dalam minyak panas, adunan itu tidak tercabut dari acuan, menjadikan adunan itu kehitaman. Dah jadi membazir pula adunan.

Untuk atasi masalah ini, semasa mencelup acuan ke dalam adunan itu, pastikan hanya mencelup 3/4 daripada ketinggian acuan itu. Ini untuk memastikan semasa dimasukkan ke dalam minyak masak, adunan itu mudah tertanggal. Jika dicelup penuh, itu yang menyebabkan adunan membaluti acuan, jadi ia tidak akan tertanggal.

Tips 2

Selain itu, masalah seterusnya adalah, ramai yang menghadapi masalah kuih goyang mereka kelihatan tidak menarik kerana semasa digoreng dalam kuali, bahagian tepinya mengembang.

Untuk mengelakkan ini daripada berlaku, pastikan semasa dimasukkan  ke dalam minyak, terus lepaskan kuih itu. Masukkan acuan kedua dan lakukan perkara yang sama. Setelah itu baru kembali kepada kuih pertama tadi dan goyangkan. Dengan ini, bentuknya ada kekal menarik.

Tips 3

Untuk mengatasi masalah kuih kurang garing pula, pastikan setelah melepaskan adunan ke dalam minyak, biarkan ia digoreng sedikit lama sehingga kuning keemasan sebelum membalikkannya.

Ini adalah kerana bahagian bawah kuih mengambil masa lebih lama untuk garing manakala bahagian atas hanya sekejap saja dah boleh garing. Dengan melakukan ini juga minyak tidak akan terkumpul di bahagian dalam kuih.

Trivia Kuih Goyang / Kuih Loyang / Kuih Ros

Kuih ini dikatakan berasal dari Selatan India (Tamil Nadu dan Kerala) dan turut dikenali dengan nama ‘Achu Murukku’ atau  ‘Achappam’.

Kuih ini juga dikenali dengan nama kuih goyang kerana apabila selesai dicelup acuannya ke dalam tepung cair, ia dicelup pula ke dalam minyak masak dan digoyangkan hingga tanggal. Disebabkan rupa acuannya yang seperti bunga, ada juga yang menggelarnya kuih bunga ros.

Nama kuih loyang pula tak dinafikan berasal daripada acuannya sendiri. Menarik bukan?

Acuan kuih loyang ini boleh didapati dengan harga sekita RM13 untuk satu acuan. Harga tidak termasuk pos.

Sebalang kuih loyang adalah sekitar RM15 hingga RM20.

Kebiasaannya kuih ini berwarna kuning keemasan, namun dengan kreativiti masyarakat setempat kini, kuih goyang yang pelbagai warna telah muncul di pasaran.