Pensel Pen

Laman resepi kegemaran anda

Resepi

Cara Nak Buat Resepi Kuih Peneram / Deram Turun Temurun

Kuih peneram atau nama lainnya kuih deram memang terkenal dan sedap dimakan. Ada banyak resepi kuih peneram yang ada di internet, tapi rata-rata yang PP dapati feedback mereka mengatakan buat-buat tak jadi. Oleh yang demikian kami cuba mendapatkan resepi yang mudah diikuti dan mendapat maklumbalas yang baik.

Resepi kuih peneram ini menggunakan 4 bahan sahaja. Namun nak membuatnya mesti betul-betul ikut step sebab kalau tak tak menjadi. Suhu bahan-bahan yang digunakan pun perlu diikut untuk mendapatkan tekstur yang betul. Jangan risau semua ada dinyatakan dalam bahagian cara menyediakan, cuma perlu betul-betul teliti.

Resepi ini dikongsikan oleh saudari Yana Sajje. Menurutnya ini adalah resepi turun temurun keluarganya. Resepi ini mendapat ribuan perkongsian di media sosial

Kuih ni tahan lama tau,3minggu pun makan sedap lagi!!panas panas lagi lah sedap 😍😍😍

Jom kita tengok cara nak buat resepi kuih peneram turun temurun yang sedap ini!

Resepi Kuih Peneram / Deram Ezona

Bahan-bahan

  • 500g tepung beras(cap gajah)
  • 500g gula merah
  • 1 1/4 cawan air
  • 1 helai daun pandan (sekiranya ada)

Cara menyediakan

Masak gula merah bersama air sehingga mendidih dan tapis (sekiranya ada daun pandan tadi masukkan juga)

Tuangkan sedikit demi sedikit air gula yang masih panas ke dalam tepung beras yang sudah tersedia di dalam bekas.

Kacau dengan senduk sehingga rata. Boleh tambahkan tepung beras sedikit sekiranya adunan tersebut kelihatan lembik namun jangan terlalu banyak. Kebiasaannya tak perlu tuang semua air gula ke dalam tepung, tapi bergantung juga pada keadaan adunan.

Adunan ini perlu disimpan semalaman sebelum digoreng. Lagi lama disimpan lebih sedap hasilnya kerana tepung beras sudah sebati dengan air gula. Adunan ini tak perlu disimpan di dalam peti sejuk. Saya pernah biarkan sampai 3 hari. Hasilnya lagi sedap.

Sebelum kita mula menggoreng, adunan tadi haruslah diuli dahulu bersama sedikit air (untuk melembutkannya).

Kemudian diambil sedikit-sedikit lalu dibulatkan seperti guli. Tekan dengan jari untuk mendapatkan bentuk yang bulat dan leper. (Jangan terlalu leper)

Bentukkan mengikut kreativiti masing-masing (saya bulatkan dengan batang pen).

Sebaik saja dibentuk terus goreng dalam minyak panas sehingga garing (guna api sederhana panas dan goreng jangan terlalu lama).

Angkat dan toskan minyaknya.

Tip

Ramai yang bertanyakan jenama tepung beras yang digunakan. Kerana ada jenama 1, 3 dan 5 gajah. Mengikut kajian kami dan maklumbalas daripada netizen, ramai yang bersetuju tepung beras 3 gajah adalah paling sesuai digunakan.

Trivia

Dalam satu rencana di dalam akhbar The Star, kuih denderam ini dikatakan diilhamkan daripada masyarakat India Selatan. Ia kini sudah menjadi popular di kalangan masyarakat di Malaysia. Di India, ia dikenali sebagai Adhirasam dan salah satu daripada bahannya adalah lada hitam.

Kuih Deram ini ada dua jenis iaitu Kuih Deram Tradisional dan Kuih Deram Komersil. Perbezaan diantara kedua jenis tersebut adalah bergantung kepada bentuk kuih deram yang dibuat.

Kuih deram tradisional mempunyai bentuk unik iaitu tidak bulat dengan mempunyai banyak lubang ditengah-tengahnya. Bilangan lubang ini bergantung kepada kehendak pembuatnya diantara 4 – 9 lubang yang di buat menggunakan lidi kelapa ketika adunan tepung masih lembut.

Kuih Deram Komersil pula adalah jenis kuih deram yang diadun dan disetak berbentuk bulat dengan satu lubang ditengah-tengahnya.

Kredit resepi dan gambar: Yana Sajje

Leave a Reply

Theme by Anders Norén

Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial