Pensel Pen

Laman resepi kegemaran anda

Resepi

Cara Nak Buat Resepi Pulut Kuning Dalam Kuantiti Banyak

Hidangan pulut kuning lazimnya didapati dalam acara-acara tertentu seperti kenduri, acara keraian dan perkahwinan. Pulut kuning sangat sesuai samaada dimakan begitu sahaja atau bersama rendang dan telur rebus. Resepi pulut kuning yang kami bawakan kali ini adalah untuk disediakan dalam kuantiti yang banyak.

Ini akan memudahkan anda sekiranya anda ingin mengadakan jamuan kecil-kecilan, atau pun bersedekah, seperti empunya resepi, Puan Rozita Bte Rahim. Menurutnya;

Resepi pulut kuning sempena anak khatam al quran (anggaran 35 orang)

Baiklah, tanpa berlengah lagi jom kita tengok cara nak buat pulut kuning, siap dengan rendangnya sekali.

Bahan-bahan

  • Pulut kuning 3 kilo direndam 2 ke 3 jam
  • Santan pekat 1500 ml + 6 sdb minyak masak*
  • Asam keping 6-7 keping
  • Garam 3 sdb*
  • Gula 7 sdb*
  • Kunyit serbuk babas 3 sudu makan+pewarna kuning 3 titik

Cara Menyediakan

Masakkan bahan-bahan yang bertanda * sehingga garam dan gula larut. Pastikan bukan sampai mendidih. Hanya perlu panaskan untuk jadikan gula dan garam sebati.

Kemudian sejatkan pulut dan letak dalam pengukus. Buangkan asam keping dan alaskan dasar dengan daun pandan.

Kukus selama 20 minit (sampai nampak wap-wap besar keluar)

Keluarkan pulut yang telah dikukus separa dan letakkan ke dalam besen besar agar memudahkan untuk digaul dengan santan.

Tuangkan santan yang dipanaskan tadi sedikit demi sedikit ke dalam pulut.

Gaulkan sehingga sebati.

Pulut yang telah digaul itu kemudiannya dimasukkan semula ke dalam pengukus.

Sambung kukus selama 25 minit atau sehingga pulut masak.

Resepi Rendang Ayam Cara Ita

Bahan-bahan Rendang

  • 2 ekor ayam
  • 2-3 sendok cili kisar
  • 3 biji Bawang besar*
  • 8 ulas bawang putih *
  • 4 inci halia*
  • 4 inci lengkuas *
  • 3 inci kunyit hidup *
  • 3 sdb ketumbar *
  • 2 sdb jintan manis *
  • 1sdb jintan putih *
  • 8 batang serai (ambil yang lembut sahaja) *
  • 6 biji buah keras *
  • 5 sdb serbuk kari ayam
  • 3 cawan santan pekat
  • 4 kpg asam keping
  • 3 pek kecil kerisik
  • Garam, gula
  • 4 helai daun kunyit diracik
  • 8 helai daun limau purut

Cara Menyediakan Rendang

Kisarkan bahan-bahan yang bertanda *. Kemudian, tumiskan bahan-bahan tersebut untuk seketika.

Masukkan cili yang dikisar, dan serbuk kari dan masak sehingga naik minyak.

Masukkan ayam. Masakkan sehingga separuh masak dan kemudian masukkan asam keping, kerisik dan santan.

Taburkan daun kunyit dan daun limau purut.

Tambahkan perasa garam dan gula mengikut citarasa masing-masing. Masak rendang sehingga mencapai kepekatan yang diinginkan.

Boleh dimasukkan ke dalam bekas jika mahu.

Tips

Letakkan asam keping untuk jadikan pulut berkilat, dan warna melekat dipulut. Pastikan ia dikeluarkan sebelum dikukus pulut tersebut.

Jika pengukus kecil, kukuskan dua kali supaya pulut masak sekata.

Kebiasaannya sekilo pulut adalah untuk 12 orang makan.

Trivia

Pulut kuning merupakan salah satu kemestian semasa melakukan upacara menyembah ancak pada masa dahulu. Ia dihidangkan bersama ayam panggang atau ayam golek beserta dengan telur rebus. Upacara sebegini tidak lagi dilakukan kini kerana ianya menyalahi syarak.

Beras yang digunakan untuk menghasilkan pulut adalah sangat ekslusif dan mahal harganya. Proses penyediaannya juga memerlukan beras direndam semalaman dan menanaknya juga lebih rumit daripada nasi biasa. Berdasarkan ini, pulut kuning diangkat menjadi juadah istimewa bagi acara istimewa.

Sifat pulut kuning yang melekit menggambarkan hubungan akrab tali persaudaraan dan silaturrahim. Ini menjadikan ia penting sebagai simbol penghargaan tuan rumah kepada masyarakat sekeliling.

Kredit resipi dan gambar: Rozita Bte Rahim

Leave a Reply

Theme by Anders Norén

Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial